Pemulihan Stroke Pantas



Apa itu strok?



Tahukah anda 6 bulan pertama selepas serangan #STROKE adalah waktu EMAS untuk proses pemulihan sempurna. Strok merupakan  satu serangan otak dan ia berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu. Otak adalah pusat saraf tubuh, berfungsi mengawal setiap aktiviti yang kita lakukan atau fikirkan, di samping mengawal fungsi-fungsi automatik seperti pernafasan.

Untuk berfungsi, otak memerlukan bekalan darah berterusan yang membawa oksigen dan nutrien yang amat penting. Apabila saluran darah di dalam otak anda pecah ataupun tersumbat, bekalan darah ini akan terhenti, maka sel-sel otak akan kekurangan oksigen dan nutrien.  Akibatnya, bahagian otak itu akan mula mati.

Strok boleh berlaku dengan pantas dan secara senyap. Kerosakan otak ini akan menjejaskan deria-deria anda, pertuturan dan pemahaman bahasa. Selain itu, bahagian sebelah tubuh mungkin lumpuh serta sikap, corak pemikiran dan ingatan turut berubah.


Gejala / Simptom-simptom Strok



Kebiasaannya, strok berlaku dengan tanda-tanda amaran. Ia adalah sangat penting untuk mengenali tanda-tanda ini supaya kita boleh mengambil tindakan segera untuk mendapatkan bantuan perubatan.  Anda juga mungkin boleh mengelakkan strok yang mendatang atau mengurangkan kesannya. Gejala-gejala utamanya adalah :
  • Kelemahan atau merasa kebas mengejut di sebelah bahagian badan. Tanda-tanda ini mungkin bermula di bahagian muka seperti meluyut, meleleh air liur, atau berasa lemah pada tangan atau kaki.
  • Kekaburan penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata secara tiba-tiba
  • Kesukaran bertutur atau memahami pertuturan, atau pertuturan yang tidak jelas.
  • Pening, kehilangan imbangan, kekeliruan
  • Sakit kepala yang melampau secara mengejut
  • Rasa mual atau muntah


Komplikasi

Kesan-kesan strok bergantung kepada bahagian otak yang mana telah terjejas serta tahap kerosakannya. Bagi sesetengah orang, kesannya hanya sedikit dan mengambil masa yang cepat untuk pulih. Manakala yang lain pula mengalami kehilangan upaya yang lebih teruk dalam jangka masa panjang. Antara komplikasi penyakit strok ialah :

Kekurangan fizikal selepas strok
  1. Kehilangan pergerakan atau corak pergerakan yang tidak normal di sebelah badan (hemiplegia). Oleh kerana bahagian kanan otak mengawal bahagian kiri badan (dan sebaliknya), hemiplegia terjadi di bahagian badan yang bertentangan dengan bahagian otak yang mengalami strok.
  2. Koordinasi yang lemah
  3. Susuk tubuh yang tidak normal contohnya kehilangan jisim otot, ‘scapula winging’.
  4. Kesukaran bertutur dan memahami, serta membaca dan menulis.
  5. Tidak dapat mengawal pembuangan najis.
  6. Kehilangan penglihatan separa.
  7. Kesukaran menelan (dysphagia).

Kekurangan kognitif
  1. Menjadi terlalu awas, cemas dan kelam kabut.
  2. Mudah murung, tidak dapat mengawal emosi.
  3. Konsentrasi yang lemah dalam mempelajari kemahiran baru.
  4. Tidak dapat memahami percakapan/pertuturan.

Kekurangan tanggapan ruang – persepsi
  1. Tidak boleh mengagak jarak, saiz, kedudukan
  2. Kehilangan rasa di sebelah badan
  3. Kehilangan imej tubuh.

Komplikasi lain seperti:
  • Kudis tekanan
  • Foot drop
  • Kontraktur
  • Komplikasi respiratori

Tips Pencegahan Strok
  • Melebihkan pengambilan makanan yang berkhasiat seperti buah dan sayuran.
  • Sentiasa memeriksa tekanan darah secara berterusan.
  • Mengekalkan berat badan yang ideal kerana obesiti adalah salah satu penyebab strok.
  • Aktif dalam melakukan aktiviti fizikal iaitu sekurang-kurangnya 2 kali seminggu. Contohnya : brisk walk, Tai Chi, senaman regangan dan senaman aktif.


Bagaimana Fisioterapi membantu pemulihan Strok:

Rehabilitasi selepas serangan strok adalah sangat penting untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi yang lebih teruk.  Kesedaran masyarakat umum tentang pemulihan selepas strok adalah sangat rendah.

Kebanyakan pesakit strok hanya terlantar di atas katil tanpa mendapatkan rawatan fisioterapi.  Sebaliknya, pesakit serta ahli keluarga lebih rela mendapatkan khidmat urutan tradisional berbanding perubatan moden yang telah terbukti secara saintifik.
Perkara ini berlaku apabila tiadanya pemahaman tentang konsep rawatan pemulihan bagi masalah strok di mana punca masalah adalah kecederaan pada otak.

Tempoh 6 bulan yang pertama merupakan ‘masa keemasan’ kerana ini adalah tempoh terbaik untuk rehabilitasi strok.  Peluang untuk pulih adalah lebih tinggi sekiranya sesi rawatan dimanfaatkan sepenuhnya sepanjang tempoh ini.

Antara objektif bagi rehabilitasi selepas strok ialah:

  1. Mempercepatkan kadar pemulihan sistem neuromuscular yang terlibat dari segi pergerakan voluntari, keseimbangan badan, koordinasi pergerakan, mobiliti dan keupayaan berjalan.
  2. Mengembalikan fungsi harian dengan cepat dan kebolehan bergerak yang optima dan berdikari  (optimal  independent functional recovery)
        
        
  3. Mencegah dan mengurangkan komplikasi seperti:
      1. Kudis tekanan
      2. Foot drop
      3. Kontraktur
      4. Komplikasi respiratori
Apabila komplikasi-komplikasi ini sudah wujud, ia akan menyukarkan serta melambatkan tempoh pemulihan pesakit.

No comments:

Post a Comment

More Post