Ramai ibu bapa tak kisah apabila anak duduk dengan posisi yang salah terutamanya yang berbentuk W. Alasannya sebab anak kecil lagi dan apabila dah besar, tabiat itu akan hilang.
Perlu diketahui apabila dah menjadi ibu bapa bukan setakat kena ambil tahu cara nak mendidik anak semata-mata tetapi perlu ada pengetahuan asas dari aspek penjagaan kesihatan anak, membentuk tingkah laku anak dan proses perkembangan mereka.
‘W’ sitting atau posisi duduk W bermaksud posisi duduk di lantai dengan lutut yang bengkok, punggung di lantai serta kaki yang terlipat di setiap sisi. Kaki anak pula mungkin terkuak atau rapat pada sisi. Posisi ini membentuk huruf ‘W’ jika dilihat dari atas.
Baru-baru ini, ramai yang mula peka dengan posisi duduk W dalam kalangan kanak-kanak ketika mereka sedang duduk bermain di atas lantai. Tabiat ini sering dilihat pada anak berusia antara 3 hingga 6 tahun.
KENAPA ANAK SUKA DENGAN POSISI DUDUK ‘W’?
Salah satu sebab cara duduk ini disukai oleh kanak-kanak adalah kerana mereka memiliki anatomi yang berbeza berbanding orang dewasa, di mana tulang paha dan bentuk lutut mereka lebih mengarah ke dalam.
Secara amnya posisi duduk ini bukanlah suatu isu sehinggalah anak berusia 2 ke 2.5 tahun. Disebabkan struktur tubuh ini, seorang kanak-kanak secara automatiknya lebih cenderung duduk dalam posisi W untuk membuat tubuhnya lebih stabil dan fleksibel. Dalam keadaan ini, mereka berasa lebih mudah memusingkan badan, menggapai barang yang berada di depan, belakang, atau sisi berbanding duduk bersila.
Bagi anak-anak kecil, posisi duduk W adalah sesuatu yang sangat normal dan semulajadi. Jadi, apa yang menyebabkan posisi duduk W ini perlu dihindarkan?
5 KESAN POSISI DUDUK ‘W’ UNTUK ANAK-ANAK
Anatomi kanak-kanak akan berubah apabila meningkat usia dan tabiat ini biasanya akan hilang dengan sendirinya. Walaupun tidak kedengaran begitu serius, kebiasaan ini tidak digalakkan oleh pakar fisioterapi kerana ia dipercayai boleh mendatangkan efek negatif pada perkembangan fizikal anak-anak.
1. MEMBENTUK POSTUR YANG KURANG BAIK
Posisi duduk W kanak-kanak lebih digemari oleh kanak-kanak kerana mereka tidak perlu berusaha banyak dan tidak menggunakan kekuatan otot untuk duduk. Mereka hanya perlukan sokongan daripada kaki yang terkuak di sisi.
Posisi ini tidak dapat menstabilkan sendi pada punggung dan seterusnya menyebabkan
‘posterior pelvic tilt’ iaitu situasi kedudukan pelvis yang tidak selari. Jika anak sering duduk dalam posisi ini buat masa yang lama, ia boleh membuatkan anak mempunyai postur duduk yang lemah dan seterusnya menyebabkan perkembangan otot dan kemahiran motor halus yang tidak normal.
2. KURANG LATIHAN MENGIMBANGKAN BADAN
Posisi duduk W dengan tapak luas menghadkan keperluan anak untuk mengalihkan beban daripada sisi ke punggung. Ini menyebabkan kurang latihan otot bagi tindak balas imbangan badan.
Otot teras iaitu otot abdomen, tulang belakang dan pelvis perlukan latihan bagi perkembangan koordinasi yang baik bagi kiri dan kanan badan.
3. MENJEJASKAN POSTUR KAKI
Menurut pakar perkembangan kanak-kanak, posisi duduk W akan membuatkan anak cenderung untuk mengalami postur kaki
“tibial torsion”. Postur ini mudah dilihat ketika anak berdiri.
Kita akan dapati peha dan lututnya merapat tetapi bahagian bawah kaki terbuka luas. Postur ini mengurangkan imbangan badan ketika anak berdiri dan berjalan.
4. MENGGANGGU PERTUMBUHAN TULANG
Menurut pakar, posisi ini juga boleh menjadi punca deformasi otot serta gangguan pertumbuhan tulang.
Bagi anak yang mempunyai kondisi tertentu seperti lemah di bahagian bawah kaki atau cara berjalan yang tidak normal, cara duduk seperti ini perlulah dielakkan sama sekali.
5. RISIKO TULANG PAHA BERALIH
Sekalipun anak-anak kelihatan bersahaja dan selesa dalam posisi tersebut, antara bahayanya termasuklah risiko tulang paha beralih (
femoral anteversion) mudah berlaku. Femoral anteversion ialah keadaan tulang peha iaitu femur yang terpusing dan menyebabkan lutut serta kaki ke dalam.
Keadaan kaki yang tertutup rapat ini membuatkan imbangan badan berkurangan lebih-lebih lagi semasa berjalan atau berdiri. Antara simptom yang boleh diperhatikan adalah cara berjalan tidak normal yang dinamakan
‘pigeon toed’, iaitu keadaan anak yang tidak dapat berjalan dengan kaki tegak dan tertutup.
IBU AYAH MESTI PRIHATIN PADA TANDA-TANDA LUARBIASA
Secara umum, perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan jika anak tidak menjadikannya sebagai tabiat untuk duduk dengan posisi W dalam jangka masa yang begitu lama.
Namun kita perlu menitik berat akan segala tingkah laku anak supaya kesan yang tidak diingini dapat dielakkan. Pelbagaikan posisi duduk anak dan latihnya untuk bersila, duduk di atas kerusi, atau bersimpuh.
Dapatkan saranan daripada doktor sekiranya anak menunjukkan posisi berdiri atau berjalan yang luarbiasa supaya dapat dicegah dengan lebih mudah seawal usia.