Bahaya ! Menarik Lengan Anak Saat Bermain Berisiko Sendi Siku Teralih



Bahaya ! Menarik Lengan Anak Saat Bermain Berisiko Sendi Siku Teralih


Pernahkah anda melihat seorang bapa/ibu yang sedang menghayun anak kesayangannya dengan memegang kedua-dua belah tangan anaknya, seolah-olah kipas helikopter yang sedang berputar?


 


Niat beliau mungkin untuk menggembirakan anak beliau dan anak itu mungkin berteriak keseronokan. Namun, apa yang ibu bapa tidak tahu, ia boleh menyebabkan tulang pada sendi siku anak teralih dan terkeluar daripada soketnya. Sama juga keadaan sekiranya ibu bapa menyentap tangan anak-anak secara tiba-tiba. Contohnya ketika anak-anak sedang menangis degil di dalam kedai permainan atau ibu bapa nak selamatkan anak-anak daripada jatuh dalam lopak air. Antara sebab lain kerana:

  1. Anak terjatuh dari tempat tinggi dan anda menyambutnya dengan menangkap tangan
  2. Anda cuba mengangkat anak dengan menarik tangannya
  3. Anda menarik tangan anak dari baju
  4. Anda menghayun anak dengan lengan atau tangannya
  5. Anda menarik tangan anak untuk buat dia jalan lebih cepat
  6. Bayi bergolek dan tertindih tangan sendiri

Keadaan ini dikenali sebagai ‘radial head subluxation’. Kondisi ini juga disebut sebagai ‘Pulled elbow’, ‘Nursemaid’s elbow’ atau ‘Babysitter’s elbow’ kerana ia kerap berlaku ketika anak-anak malang ini berada dalam jagaan pengasuh.



 

 


Sendi siku kita terbentuk oleh 3 tulang utama iaitu tulang lengan (humerus), radius dan ulna. Tulang radius dan ulna ini dipegang oleh satu ligamen nipis yang dikenali sebagai Annular Ligament berhampiran sendi siku. Ia membentuk bulatan, meliliti kepala dan leher tulang radius, seterusnya membolehkan pergerakan memusingkan tangan dengan bebas.


 


Sebarang henjakan atau tarikan secara keras dan tiba-tiba boleh menyebabkan kepala dan leher tulang radius ini terkeluar daripada Annular ligament. Ini akan menyebabkan tulang ini terkeluar, rasa sakit dan pergerakan siku dan tangan menjadi terbatas.

Ia boleh berlaku sepanjang usia kanak-kanak daripada lahir sehingga umur 7 tahun namun ia paling kerap berlaku pada kanak-kanak yang berusia 1 hingga 4 tahun. Pada usia ini, tulang dan otot anak-anak belum benar-benar matang dan keadaan ini memudahkan kecederaan ini berlaku.


Tanda-tanda Sendi Siku Teralih


Antara tanda-tanda tulang siku anak-anak teralih kerana ibu bapa menarik tangannya ialah apabila anak enggan menggerakkan tangan tersebut.
Malah, anak menangis tanpa henti selepas ibu bapa menarik tangannya atau ketika dia terjatuh. Tulang siku teralih sukar dikesan ibu bapa kerana tiada tanda-tanda bengkak, lebam atau terseliuh yang boleh mereka nampak.

Ibu bapa juga boleh melihat siku anak seakan bengkok dan tapak tangan mereka termasuk ke dalam.
Jangan cuba untuk memperbetulkan tulang siku yang lari dengan sendiri. Ia mampu memberi kesan yang lebih buruk!

Sekiranya ia berlaku, dapatkan rawatan di hospital dengan segera.



 



Lewat Mendapatkan Rawatan

Sesetengah ibu bapa yang lambat mendapatkan rawatan di hospital akan menyukarkan rawatan yang boleh diberi kepada anak mereka. Ada ibu bapa yang tidak ke hospital kerana menyangka tiada kecederaan pada sendi berlaku, namun apa yang membuatkan kami terkilan ialah kerana, ada juga yang memilih untuk mendapatkan rawatan tradisional.

Kelewatan sendi dimasukkan kembali boleh menyebabkan pergerakkan sendi siku menjadi terbatas, bentuk siku yang bengkok dan tulang tertonjol. Namun, perkara yang paling kami mahu elakkan ialah kecederaan pada saraf Posterior Interosseous Nerve (PIN) yang boleh menyebabkan keadaan yang kami panggil finger drop. Finger drop ialah keadaan dimana pesakit tidak akan mampu mengangkat dan meluruskan jari-jari beliau akibat kerosakan saraf PIN ini. Kebarangkali sembuh bagi kerosakan saraf PIN adalah agak rendah.

Sekiranya dibiarkan, sendi ini akan menjadi longgar. Lebih malang lagi sekiranya anak-anak mendapat radang sendi siku atau Osteoarthritis akibat kelewatan ini.


Kesimpulan
Kesimpulannya, saya nasihatkan pembaca sekalian mengenai 3 perkara:
  1. Elakkan daripada menghayun anak-anak.
  2. Elakkan daripada menyentap atau menarik tangan anak-anak dengan keras.
  3. Sekiranya anda ingin mengangkat atau mendukung anak-anak, sentiasa mengangkat dengan memegang badan atau pada bahagian ketiak mereka. Elakkan cara mengangkat mereka ke atas dengan menarik tangan mereka.
Segera dapatkan rawatan di hospital sekiranya perkara ini terjadi. Rawatan awal menjamin hasil yang terbaik bagi anak kesayangan anda.

No comments:

Post a Comment

More Post