Penyakit Osgood Schlatter




Pengenalan Osgood Schlatter Disease

Osgood Schlatter Disease ialah inflamasi Patella Tendon di kalangan remajaStruktur Patella Tendon ini terdapat di bawah paras tulang tempurung lutut. Pada amnya, selain daripada rasa sakit, ia akan kelihatan bengkak di bahagian tersebut. Kondisi ini di namakan sempena dua orang pakar bedah tulang, Robert Bayley Osgood dari Amerika dan Carl B. Schlatter dari Switzerland.



Rasa sakit ini akan mengganggu aktiviti harian anda. Kondisi ini lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang aktif dalam aktiviti-aktiviti tangkas seperti lari dan lompat, contoh, bola sepak, bola keranjang, tarian Ballet dan lain-lain lagi. Kaum lelaki lebih mengalami kondisi ini berbanding dengan kaum perempuan. Namun jurang ini menjadi makin kurang disebabkan perempuan makin aktif dalam aktiviti-aktiviti fizikal. Oleh sebab perempuan lebih cepat matang daripada lelaki, kondisi Osgood-Schlatter wujud pada umur 11 – 12 dalam kalangan perempuan dan 13 – 14 dalam kalangan lelaki. Kondisi ini selalunya akan reda apabila proses tumbesaran tulang berhenti.



Apakah tanda-tanda dan gejala-gejala Osgood-Schlatter?
  1. Gejala yang utama ialah sakit. Tahap sakit yang dialami akibat Osgood-Schlatter berbeza daripada individu ke individu. Ada individu yang akan mengalami sakit berintensiti rendah apabila berlari, naik dan turun tangga atau melompat. Ada pula yang akan mengalami sakit berterusan yang kuat. Sakit ini akan bertambah kuat dengan aktiviti yang ringan sahaja seperti berjalan.
  2. Pada amnya, inflamasi ini akan wujud pada satu lutut sahaja, tetapi ia boleh juga melibatkan kedua-dua belah lutut. Rasa sakit dan ketidakselesaan ini boleh muncul untuk beberapa minggu atau bulan. Keadaan ini juga boleh berulang selagi proses tumbesaran tulang remaja yang berkenaan belum berhenti.
  3. Struktur Tibial tuberosity akan kelihatan seperti membengkak. Struktur ini terletak di bawah paras tempurung lutut sebagai satu bonjolan. Tendon Patella bersambung pada struktur ini. Jika terhentak, individu berkenaan akan mengalami sakit yang kuat.

Benjol Tibial tuberosity pesakit Osgood-Schlatter

Diagnosis
Rasa sakit boleh terjadi semula dengan kontraksi yang kuat daripada otot Quardriceps (Resisted Quadriceps contraction). Pesakit akan diminta untuk meluruskan lutut sambil melawan rintangan yang diberi.
Sakit akan dialami juga apabila Tibial tuberosity diketuk dengan lembut (Tap). Apabila tendon Patella menjadi radang, kulit lutut akan kemerahan dan bengkak.
Ada kemungkinan sendi lutut juga akan menjadi kurang stabil.
Dalam keadaan yang kronik, iaitu sekiranya keadaan ini berterusan, bonjolan Tibial tuberosity akan menyebabkan tulang itu tumbuh dan lebih menonjol. Ada kalanya doktor akan melakukan X-Ray.




Apakah rawatan yang diperlukan?
Osgood-Schlatter Disease boleh pulih dengan sendiri. Simptom-simptom akan hilang apabila proses tumbesaran tulang berhenti. Ini akan mengambil masa. Sementara itu, doktor boleh memberi preskripsi ubat dan kes dirujuk bagi pemulihan secara fisioterapi.

Ubat-ubatan
Ubat penahan sakit yang boleh dibeli sendiri dari farmasi boleh membantu. Namun digalakkan untuk mendapatkan preskripsi daripada doktor.

Fisioterapi
Terapis boleh membantu dengan senaman regangan. Regangan otot Quadricepsdan Hamstrings akan mengurangkan ketegangan pada Patella Tendon. Senaman untuk menguatkan otot Quadriceps akan pulihkan kekuatan serta kestabilan sendi lutut.

Panduan-panduan lain yang membantu:
  • Rehatkan sendi. Kurangkan aktiviti-aktiviti yang menambahkan sakit seperti melutut, lari dan lompat
  • Tuam ais pada bahagian yang sakit. Ini akan mengurangkan sakit dan bengkak
  • Menggunakan knee pad semasa bersukan
  • Menggunakan Patella tendon strap. Strap ini digunakakn mengelilingi Tendon Patella. Ini akan mengalihkan tekanan daripada tendon tersebut dan justeru itu dapat mengurangkan sakit
  • Dinasihatkan untuk tidak melakukan aktiviti yang berimpak tinggi. Aktiviti seperti berbasikal dan berenang boleh diamalkan buat sementara sehingga pulih.

Patella tendon strap

No comments:

Post a Comment

More Post